Wednesday, April 11, 2012

Hadith tentang Ilmu..



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ. (مسلم وأبو داود والترمذي)
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Sesiapa yang menolong memberi nafas baharu kepada seseorang mukmin yang mengalami kesusahan yang menyesakkannya dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah menolong melegakan kesusahan yang menyesakkannya dan kesusahan-kesusahan hari qiamat dan sesiapa yang menolong memudahkan susah payah seseorang, nescaya Allah menolong memudahkan susah payahnya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keaipan seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaipannya di dunia dan di akhirat dan Allah tetap memberikan pertolongan yang diperlukan oleh seseorang, selagi orang itu memberikan pertolongan kepada saudaranya dan sesiapa yang berusaha menjalankan sebarang cara yang menyampaikannya mencapai ilmu pengetahuan, Allah akan memberi kemudahan kepadanya dengan usahanya itu untuk mendapat jalan yang membawanya ke Syurga dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam salah satu tempat dan tempat-tempat (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca kitab Allah Al-Qur'an dan mentadarusnya sesama sendiri melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka pula diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya".(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
(1) - Galakan memberi pertolongan.
Tiap-tiap orang dalam alam kehidupan dunia ini sudah tentu mempunyai hajat-hajat dan kemahuan untuk mendapat manfaat dan mengelakkan mudarat, sedang hajat-hajat dan kemahuan itu sebahagian besarnya tidak dapat dicapai melainkan dengan jalan bantu membantu dan tolong menolong antara satu dengan yang lain.
Keadaan yang demikian, tidak terlepas daripadanya seseorang pun, walau pun ia dari golongan yang senang lenang atau yang mempunyai kuasa. Oleh itu maka hidup secara bermasyarakat adalah suatu tabiat semula jadi umat manusia.
Maksud hadis ini di antara lain menerangkan bahawa: Memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukannya sama ada pertolongan itu kecil atau besar, amatlah baik kesudahannya kerana ia bukan sahaja akan mendapat pertolongan dan orang lain kelak, bahkan Allah Aza wa Jalla tetap memberikan pertolongan yang sejenis dengan perbuatannya yang baik itu - bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. Maka alangkah bahagianya orang yang mendapat pertolongan dari Allah (S.W.T.) pada hari yang tidak ada sesiapa pun dapat memberikan sebarang pertolongan?
Di antara pertolongan yang sangat-sangat digalakkan ialah:
Pertama - Menolong meringankan penderitaan dan memberi nafas baru kepada mana-mana orang mukmin yang menanggung sesuatu kesusahan yang menyesakkannya dan soal-soal hidup dalam alam dunia ini.
Sebenarnya pertolongan itu tidak terhad kepada orang-orang mukmin sahaja bahkan umum kepada tiap-tiap seorang manusia yang tidak memusuhi Islam dan juga kepada tiap-tiap haiwan yang lain dan binatang-binatang yang dibenarkan atau disuruh oleh agama membunuhnya.
Kedua - Menolong memberi kemudahan kepada sesiapa jua yang mengalami kepayahan, yang dituntut oleh Islam menolongnya.
Misalnya: Orang yang menanggung hutang sedang ia tidak dapat membayarnya pada masa yang ditetapkan, maka orang yang demikian keadaannya dikehendaki menolongnya dengan jalan dibebaskan dari semua atau dari sebahagian hutang yang ditanggungnya atau pun diberi tempoh yang lain untuk memudahkan ia membayarnya.
Atau seseorang Islam yang sedang mengalami susah payah dalam sesuatu masalah agama, maka dikehendaki menolongnya dengan satu fatwa yang melepaskannya dan kesusahannya itu sekalipun fatwa itu tidak berdasarkan mazhab yang biasa diamalkannya.
Ketiga - Menolong menutup kesalahan atau keaipan orang Islam.
Menurut beberapa buah hadis, bahawa sesiapa yang mendedahkan keaipan saudaranya, nescaya Allah akan mendedahkan keaipannya sekalipun di rumahnya sendiri.
Sayugia disebut, manusia itu dua jenis:
(a) - Orang yang tidak terkenal melakukan sesuatu maksiat, maka orang yang demikian, kalaulah ia terlanjur melakukan sesuatu perkara yang buruk, maka dialah orang yang dikehendaki diberi pertolongan menutup keburukan atau keaipan yang dilakukannya dan tidak harus didedahkan atau diperkatakan, kerana perbuatan yang demikian adalah perbuatan mengumpat yang nyata haramnya.
(b) - Orang yang terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat, yang tidak menghiraukan apa yang dilakukannya dan tidak pula mengambil indah kepada apa yang dikatakan kepadanya maka orang yang demikan keadaannya dituntut membongkar kesalahannya supaya ia menerima hukuman.
Pertolongan menutup kesalahan dan keaipan seseorang Islam itu adalah dengan beberapa syarat:
Pertama - kesalahan yang dilakukan itu berhubung dengan hak Allah Taala.
Kedua - kesalahan itu dilakukan pada masa yang lalu.
Ketiga - kesalahan itu dilakukan oleh orang yang tidak terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat.
Keempat - orang itu tidak menjadi saksi atau rawi hadis atau pemegang amanah dan lain-lainnya dan orang-orang yang semestinya bersifat adil dan amanah.
Kesimpulannya: Orang yang memberikan pertolongan yang tersebut, tetap beroleh pertolongan Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya.

(2) - Balasan usaha menuntut ilmu:
Oleh kerana jalan-jalan dan cara bagi mencapai ilmu agama itu banyak, yang menghendaki seseorang penuntut berusaha dengan bersungguh-sungguh membanyakkan membaca, menulisnya, menghafaznya dan mengkaji serta saling ingat-mengingati sesama penuntut, maka Rasulullah s.a.w. memberi jaminan kepada orang yang menjalankan usaha itu, bahawa Allah Taala akan memudahkan baginya segala jalan yang menyampaikannya ke Syurga.

(3) Kelebihan berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya:
Berhimpun atau berjemaah dalam mengerjakan sesuatu amal ibadat, sangat-sangat digalakkan oleh Islam; di antaranya berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya, kerana Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya berbuat demikian dengan menyatakan bahawa mereka diberi perasaan ketenangan hati, dicucuri rahmat dalam segenap keadaan, dilingkungi oleh malaikat-malaikat berkat dan puji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya.
Keadaan yang demikian sangat-sangat dituntut untuk memimpin seseorang ke jalan mencapai keselamatan di dunia dan di akhirat, kerana sebahagian besar dari kacau bilau dan perbuatan maksiat adalah akibat dari dorongan jiwanya yang tidak ada perasaan ketenangan dan tidak dicucuri oleh rahmat Allah; dan sebaliknya perbuatan-perbuatan baik yang menatijahkan keselamatan adalah dari jiwa yang bersih dan tenang serta mendapat cucuran rahmat Allah `Aza wa Jalla.
Empat kelebihan yang diberikan kepada orang-orang yang berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya itu diberikan juga kepada orang-orang yang berhimpun dalam majlis zikir (majlis menyebut dan mengingati Allah), sebagaimana yang tersebut dalam hadis Muslim.
Hadis Muslim ini, menurut pendapat Al-Saghani dalam syarh "Masyariq al-Anwar" adalah menjadi dalil tentang kelebihan tiap-tiap kumpulan yang berhimpun kerana Allah membaca Al-Qur'an, mendengar hadis Rasulullah s.a.w. atau mempelajari ilmu agama.
Kelebihan berhimpun untuk "Zikir Allah" itu diterangkan pula dalam sebuah hadis Bukhari dan Muslim yang ringkasan maksudnya seperti berikut:
Bahawa Allah Taala mempunyai Malaikat yang sentiasa berjalan di merata-rata tempat mencari kumpulan yang berhimpun untuk berzikir, bertasbih, bertakbir dan bertahmid; apabila mereka berjumpa kumpulan ahli zikir itu mereka panggil memanggil sesama sendiri lalu mengerumuni kumpulan itu serta menaunginya dengan sayap mereka berlapis-lapis hingga ke langit dunia. Setelah mereka mengadap Tuhan dan menjawab beberapa pertanyaan, maka Tuhan menyatakan kepada mereka dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu menjadi saksi bahawa Aku telah mengampunkan dosa mereka sekaliannya." Mendengarkan firman Allah itu, salah satu di antara Malaikat yang tersebut berkata: "(Ya Tuhan Kami!) dalam kalangan ahli zikir itu ada seorang yang hanya datang kerana satu hajat yang lain, lalu duduk dengan mereka." Allah Taala menjawab: "Kumpulan itu ialah orang-orang yang sempurna kebaikannya, dengan kesempurnaan mereka tidak akan hampa orang yang duduk bersama-sama mereka".

(4) Amalan seseorang jualah yang menentukan maju mundurnya:
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa seseorang yang ingin membela nasibnya wajiblah ia belajar dan berusaha serta beramal; tidak harus ia bergantung kepada keadaan nasab keturunannya, kerana Tuhan telah berfirman yang maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap seorang, beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan apa yang mereka telah kerjakan"; demikian juga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengingatkan kaum kerabatnya bahkan buah hatinya yang dikasihi, Sayidatina Fatimah, r.a., supaya masing-masing menebus diri dari azab seksa, dengan amal taat yang sempurna, kerana Baginda tidak berkuasa menolak sesuatu pun dari azab seksa Tuhan itu.
Sayugia direnung dan diteliti isi hadis ini, kalau Rasulullah s.a.w. sendiri telah menyatakan tidak sanggup mengelakkan azab seksa dari anaknya Sayidatina Fatimah r.a., kalau ditakdirkan cuainya dari beramal, pada hal Rasulullah s.a.w. ialah Rasulullah dan Sayidatina Fatimah ialah anaknya yang dikasihi, maka betapalah pula orang yang cuai menjalankan perintah beramal dengan mengharapkan kelebihan nasab keturunannya atau kebangsawanannya dan betapa pula halnya orang yang tergamak menyanggup memberi pertolongan, pada "hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikit pun kepada orang lain dan segala perkara pada hari itu tertentu bagi Allah! "



Tuesday, April 10, 2012

Balasan dan Azab bagi mereka yang melakukan kemungkaran...


Bismillahirahmanirrahim…
Assalamualaikum w.b.t
Salam sayang buat sidang pembaca blog sekalian. Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat illahi kerana dengan izin dan restunya dapatlah saya untuk menulis secebis tazkirah ringkas yang insya_Allah akan menjadi peringatan dan pengajaran buat kita semua.
Sidang pembaca blog yang dirahmati Allah sekalian,
Dalam surah an-Nisa ayat 56, Allah telah menceritakan tentang azab dan balasan yang diberikan kepada mereka yang membuat kemungkaran di dunia.
  
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُمْ بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang ingkar akan ayat-ayat kami kelak akan kami masukkan ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, lalu kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan(ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Sahabatku yang dimuliakan oleh Allah sekalian,
Itulah ancaman Allah buat orang-orang yang berbuat dosa di dunia. Mereka akan diseksa di neraka dan seksaan di neraka itu amat menyakitkan, tiada sebarang pengampunan dan tiada siapa yang boleh membantu mereka. Manusia yang membuat dosa akan dibakar di dalam api neraka sehingga kulit mereka hangus, lalu digantikan pula dengan kulit yang baru dan begitulah seterusnya mereka akan diazab. Yang kedengaran hanyalah teriakan “ALLAH…ALLAH…ALLAHUAKHBAR…YA ALLAH AMPUNILAH AKU YA ALLAH” tetapi semua itu sudah terlambat.
Manusia yang tidak pernah solah semasa hidup di dunia, maka mereka akan dibakar di dalam api neraka yang mendidih dan bergelojak sehingga tubuh mereka benar-benar hancur, lalu digantikan pula dengan tubuh yang baru..untuk apa??? Untuk mereka terus diseksa diatas dosa yang telah mereka lakukan..Masya_Allah!! Astaghfirullahalazim..
Sidang Muslimin dan Muslimat sekalian,
Ketika manusia diseksa di dalam neraka tiada apa yang dapat mereka lakukan selain menangis dan berteriak kerana seksaan yang amat pedih dan menyakitkan diberikan oleh Allah atas kemungkaran dan dosa mereka semasa berada di dunia.
Penghuni neraka dengan mudahnya tubuh mereka dihancurka dan  lidah mereka digunting serta dipotong.Masya_Allah!! Seksanya azab di neraka.
Sahabat-sahabatku cuba kita sama-sama bayangkan, semasa hidup di dunia apabila tangan kita terkena api atau air mendidih sungguh pedih kan??? Apa lagi kalau di neraka. Sesungguhnya kalau dikumpulkan segala kesakitan di dunia ini, masih tidak dapat menandingi kesakitan akibat azab paling ringan di neraka iaitu memakai teropah neraka.
Oleh itu marilah sama-sama kita menghindari segala kemungkaran dan memperbaiki segala amal kita kepada Allah. Sesungguhnya Allah tidak suka akan amalan yang banyak pada satu-satu masa tetapi tidak kekal bahkan Allah sangat menyukai amalan yang sedikit tetapi secara berterusan.

”ISTIQAMAHLAH DALAM SETIAP IBADATMU NESCAYA KAMU AKAN TERGOLONG DALAM GOLONGAN ORANG YANG MENDAPAT REDHA ALLAH S.W.T”




Sumber: Nadia (PIDACIL musim 4), Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian Al-quran, Warden Asrama Al-Madrasatul Merchang (ASSALAM).

         

Saturday, April 7, 2012

Doa tidur

Doa naik kenderaan.avi

Doa selepas wuduk

Doa Penerang Hati

DOA QUNUT,.3gp

doa selamat

Doa Khatam Al-Quran

doa masuk rumah

doa untuk ibu bapa

doa sebelum makan

Tilmiz - Doa Sebelum Tidur

doa sebelum belajar

Doa dan Zikir Harian: Doa Memohon Keampunan

Doa dan Zikir Harian: Doa Menghilangkan Kesedihan

Sunday, April 1, 2012

HENTIKAN KEGANASAN ISRAEL!!!!








wahai umat islam!!!!

Sampai bilakah kita nak saksikan penderitaan saudara-saudara kita di gaza. Mereka didera, diseksa, di bom dan ditindas. Jeritan demi jeritan...tangisan demi tangisan menyusul sejurus bunyi dentuman bom. Sampai bilakah kita mahu biarkan ISRAEL terus menindas saudara kita???

Bangkitlah wahai saudaraku!!!!
Sedarlah saudaraku akan kekejaman ISRAEL!!!
Bersamalah kita menentang musuh agama kita "ISRAEL DURJANA"


ALLAHU AKHBAR!!!!!




19 Hadith Tentang Wanita








1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".  

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.  

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.  

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.  

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.  

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.  

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.  

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.  

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).  

10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.  

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.  

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Ibunya".  

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.  

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.  

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.  

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.  

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.  

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.  

19. Daripada Aisyah r.a. "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."


sumber: Tanbihul Ghafilin