عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ
مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ
كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ
عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ
فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ
فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ
اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ
مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا
نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ
الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ
عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ. (مسلم وأبو داود والترمذي)
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Sesiapa
yang menolong memberi nafas baharu kepada seseorang mukmin yang mengalami
kesusahan yang menyesakkannya dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah
menolong melegakan kesusahan yang menyesakkannya dan kesusahan-kesusahan hari
qiamat dan sesiapa yang menolong memudahkan susah payah seseorang, nescaya
Allah menolong memudahkan susah payahnya di dunia dan di akhirat dan sesiapa
yang menutup keaipan seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaipannya di dunia
dan di akhirat dan Allah tetap memberikan pertolongan yang diperlukan oleh
seseorang, selagi orang itu memberikan pertolongan kepada saudaranya dan
sesiapa yang berusaha menjalankan sebarang cara yang menyampaikannya mencapai
ilmu pengetahuan, Allah akan memberi kemudahan kepadanya dengan usahanya itu
untuk mendapat jalan yang membawanya ke Syurga dan tidak berhimpun sesuatu kaum
dalam salah satu tempat dan tempat-tempat (yang dikhaskan untuk mencapai
keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca kitab Allah Al-Qur'an dan
mentadarusnya sesama sendiri melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan
mereka pula diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh malaikat, serta
mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di
sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai
kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab
keturunannya".(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
(1) - Galakan memberi pertolongan.
Tiap-tiap orang dalam alam kehidupan dunia ini
sudah tentu mempunyai hajat-hajat dan kemahuan untuk mendapat manfaat dan
mengelakkan mudarat, sedang hajat-hajat dan kemahuan itu sebahagian besarnya
tidak dapat dicapai melainkan dengan jalan bantu membantu dan tolong menolong
antara satu dengan yang lain.
Keadaan yang demikian, tidak terlepas daripadanya
seseorang pun, walau pun ia dari golongan yang senang lenang atau yang
mempunyai kuasa. Oleh itu maka hidup secara bermasyarakat adalah suatu tabiat
semula jadi umat manusia.
Maksud hadis ini di antara lain menerangkan
bahawa: Memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukannya sama ada
pertolongan itu kecil atau besar, amatlah baik kesudahannya kerana ia bukan
sahaja akan mendapat pertolongan dan orang lain kelak, bahkan Allah Aza wa
Jalla tetap memberikan pertolongan yang sejenis dengan perbuatannya yang baik
itu - bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. Maka alangkah bahagianya
orang yang mendapat pertolongan dari Allah (S.W.T.) pada hari yang tidak ada
sesiapa pun dapat memberikan sebarang pertolongan?
Di antara pertolongan yang sangat-sangat
digalakkan ialah:
Pertama - Menolong meringankan penderitaan dan
memberi nafas baru kepada mana-mana orang mukmin yang menanggung sesuatu
kesusahan yang menyesakkannya dan soal-soal hidup dalam alam dunia ini.
Sebenarnya pertolongan itu tidak terhad kepada
orang-orang mukmin sahaja bahkan umum kepada tiap-tiap seorang manusia yang
tidak memusuhi Islam dan juga kepada tiap-tiap haiwan yang lain dan
binatang-binatang yang dibenarkan atau disuruh oleh agama membunuhnya.
Kedua - Menolong memberi kemudahan kepada
sesiapa jua yang mengalami kepayahan, yang dituntut oleh Islam menolongnya.
Misalnya: Orang yang menanggung hutang sedang ia
tidak dapat membayarnya pada masa yang ditetapkan, maka orang yang demikian
keadaannya dikehendaki menolongnya dengan jalan dibebaskan dari semua atau dari
sebahagian hutang yang ditanggungnya atau pun diberi tempoh yang lain untuk
memudahkan ia membayarnya.
Atau seseorang Islam yang sedang mengalami susah
payah dalam sesuatu masalah agama, maka dikehendaki menolongnya dengan satu
fatwa yang melepaskannya dan kesusahannya itu sekalipun fatwa itu tidak
berdasarkan mazhab yang biasa diamalkannya.
Ketiga - Menolong menutup kesalahan atau keaipan
orang Islam.
Menurut beberapa buah hadis, bahawa sesiapa yang
mendedahkan keaipan saudaranya, nescaya Allah akan mendedahkan keaipannya
sekalipun di rumahnya sendiri.
Sayugia disebut, manusia itu dua jenis:
(a) - Orang yang tidak terkenal melakukan
sesuatu maksiat, maka orang yang demikian, kalaulah ia terlanjur melakukan
sesuatu perkara yang buruk, maka dialah orang yang dikehendaki diberi
pertolongan menutup keburukan atau keaipan yang dilakukannya dan tidak harus
didedahkan atau diperkatakan, kerana perbuatan yang demikian adalah perbuatan
mengumpat yang nyata haramnya.
(b) - Orang yang terkenal berperangai buruk dan
selalu melakukan maksiat, yang tidak menghiraukan apa yang dilakukannya dan
tidak pula mengambil indah kepada apa yang dikatakan kepadanya maka orang yang
demikan keadaannya dituntut membongkar kesalahannya supaya ia menerima hukuman.
Pertolongan menutup kesalahan dan keaipan
seseorang Islam itu adalah dengan beberapa syarat:
Pertama - kesalahan yang dilakukan itu berhubung
dengan hak Allah Taala.
Kedua - kesalahan itu dilakukan pada masa yang
lalu.
Ketiga - kesalahan itu dilakukan oleh orang yang
tidak terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat.
Keempat - orang itu tidak menjadi saksi atau
rawi hadis atau pemegang amanah dan lain-lainnya dan orang-orang yang
semestinya bersifat adil dan amanah.
Kesimpulannya: Orang yang memberikan pertolongan
yang tersebut, tetap beroleh pertolongan Allah sebagai balasan yang
sebaik-baiknya.
(2) - Balasan usaha menuntut ilmu:
Oleh kerana jalan-jalan dan cara bagi mencapai
ilmu agama itu banyak, yang menghendaki seseorang penuntut berusaha dengan
bersungguh-sungguh membanyakkan membaca, menulisnya, menghafaznya dan mengkaji
serta saling ingat-mengingati sesama penuntut, maka Rasulullah s.a.w. memberi
jaminan kepada orang yang menjalankan usaha itu, bahawa Allah Taala akan memudahkan
baginya segala jalan yang menyampaikannya ke Syurga.
(3) Kelebihan berhimpun membaca Al-Qur'an dan
mentadarusnya:
Berhimpun atau berjemaah dalam mengerjakan
sesuatu amal ibadat, sangat-sangat digalakkan oleh Islam; di antaranya
berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya, kerana Rasulullah s.a.w.
menggalakkan umatnya berbuat demikian dengan menyatakan bahawa mereka diberi
perasaan ketenangan hati, dicucuri rahmat dalam segenap keadaan, dilingkungi
oleh malaikat-malaikat berkat dan puji oleh Allah Taala dalam kalangan
makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya.
Keadaan yang demikian sangat-sangat dituntut
untuk memimpin seseorang ke jalan mencapai keselamatan di dunia dan di akhirat,
kerana sebahagian besar dari kacau bilau dan perbuatan maksiat adalah akibat
dari dorongan jiwanya yang tidak ada perasaan ketenangan dan tidak dicucuri
oleh rahmat Allah; dan sebaliknya perbuatan-perbuatan baik yang menatijahkan
keselamatan adalah dari jiwa yang bersih dan tenang serta mendapat cucuran
rahmat Allah `Aza wa Jalla.
Empat kelebihan yang diberikan kepada
orang-orang yang berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya itu diberikan
juga kepada orang-orang yang berhimpun dalam majlis zikir (majlis menyebut dan
mengingati Allah), sebagaimana yang tersebut dalam hadis Muslim.
Hadis Muslim ini, menurut pendapat Al-Saghani
dalam syarh "Masyariq al-Anwar" adalah menjadi dalil tentang
kelebihan tiap-tiap kumpulan yang berhimpun kerana Allah membaca Al-Qur'an,
mendengar hadis Rasulullah s.a.w. atau mempelajari ilmu agama.
Kelebihan berhimpun untuk "Zikir
Allah" itu diterangkan pula dalam sebuah hadis Bukhari dan Muslim yang
ringkasan maksudnya seperti berikut:
Bahawa Allah Taala mempunyai Malaikat yang
sentiasa berjalan di merata-rata tempat mencari kumpulan yang berhimpun untuk
berzikir, bertasbih, bertakbir dan bertahmid; apabila mereka berjumpa kumpulan
ahli zikir itu mereka panggil memanggil sesama sendiri lalu mengerumuni
kumpulan itu serta menaunginya dengan sayap mereka berlapis-lapis hingga ke
langit dunia. Setelah mereka mengadap Tuhan dan menjawab beberapa pertanyaan,
maka Tuhan menyatakan kepada mereka dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu
menjadi saksi bahawa Aku telah mengampunkan dosa mereka sekaliannya."
Mendengarkan firman Allah itu, salah satu di antara Malaikat yang tersebut
berkata: "(Ya Tuhan Kami!) dalam kalangan ahli zikir itu ada seorang yang
hanya datang kerana satu hajat yang lain, lalu duduk dengan mereka." Allah
Taala menjawab: "Kumpulan itu ialah orang-orang yang sempurna kebaikannya,
dengan kesempurnaan mereka tidak akan hampa orang yang duduk bersama-sama
mereka".
(4) Amalan seseorang jualah yang menentukan maju
mundurnya:
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menegaskan:
Bahawa seseorang yang ingin membela nasibnya wajiblah ia belajar dan berusaha
serta beramal; tidak harus ia bergantung kepada keadaan nasab keturunannya,
kerana Tuhan telah berfirman yang maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap seorang,
beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan apa yang mereka telah
kerjakan"; demikian juga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengingatkan
kaum kerabatnya bahkan buah hatinya yang dikasihi, Sayidatina Fatimah, r.a.,
supaya masing-masing menebus diri dari azab seksa, dengan amal taat yang
sempurna, kerana Baginda tidak berkuasa menolak sesuatu pun dari azab seksa
Tuhan itu.
Sayugia direnung dan diteliti isi hadis ini,
kalau Rasulullah s.a.w. sendiri telah menyatakan tidak sanggup mengelakkan azab
seksa dari anaknya Sayidatina Fatimah r.a., kalau ditakdirkan cuainya dari
beramal, pada hal Rasulullah s.a.w. ialah Rasulullah dan Sayidatina Fatimah
ialah anaknya yang dikasihi, maka betapalah pula orang yang cuai menjalankan
perintah beramal dengan mengharapkan kelebihan nasab keturunannya atau
kebangsawanannya dan betapa pula halnya orang yang tergamak menyanggup memberi
pertolongan, pada "hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan
sedikit pun kepada orang lain dan segala perkara pada hari itu tertentu bagi
Allah! "
No comments:
Post a Comment